Sunday, July 12, 2009

~HamiL~

Tanda-tanda kehamilan dan bagaimana mengesahkannya

PETANDA-PETANDA KEHAMILAN

Setiap wanita perlu mengetahui apakah gejala-gejala serta tanda-tanda yang boleh dialami oleh mereka apabila mereka menjadi hamil. Pengetahuan ini amat penting supaya mereka dapat membezakan di antara masalah kesihatan dengan perubahan fisiologi yang sepatutnya tidak membimbangkan mereka. Gejala-gejala dan tanda-tanda yang dipaparkan di bawah adalah bersifat umum dan banyak keadaan lain yang boleh menjadi puncanya, apa yang penting adalah setiap wanita perlu mendapatkan nasihat doktor jika sekiranya gejala-gejala ini berpanjangan dan membebankan.

Berikut adalah beberapa gejala dan petanda bahawa seseorang wanita itu mungkin telah hamil:

  1. Tidak kedatangan haid terutama di kalangan wanita-wanita yang mempunyai haid yang tetap. Pendarahan haid tidak berlaku kerana korpus luteum yang terbentuk tidak menjalani proses degenerasi (pengecutan). Dengan sebab itu kandungan hormon progesteron yang dihasilkan olehnya tidak menurun seperti mana yang berlaku ke atas wanita-wanita yang kedatangan haid. Korpus luteum ini tidak mengalami degenerasi disebabkan oleh kehadiran hormon Beta-HCG.
  2. Sakit pada payudara. Sakit pada payudara boleh dialami seawall 1-2 minggu kehamilan. Payudara mungkin mengalami perubahan seperti kelihatan membengkak, lebih sensitive pada sentuhan dan puting susu kelihatan lebih kehitaman. Perubahan payudara ini sama seperti yang dialami oleh sebahagian wanita sebelum mereka kedatangan haid ataupun ketika mengambil pil perancang keluarga.
  3. Loya dan muntah. Loya dan muntah dikatakan mempunyai kaitan dengan kandungan hormone beta HCG. Di dalam istilah melayu ianya juga dikenali sebagai alahan dan dalam bahasa inggeris dikenali sebagai “morning sickness”. Loya dan muntah ini boleh berlaku sehingga usia kandungan mencapai 12-14 minggu dan yang paling ketara adalah di antara usia kandungan dari 2-8 minggu. Loya dan muntah boleh dialami bila-bila masa samada pada waktu pagi, petang ataupun malam. Terdapat juga wanita-wanita yang bernasib baik dan tidak mengalami loya dan muntah ketika hamil tetapi terdapat juga wanita yang mengalami loya dan muntah yang serius. Loya dan muntah yang serius boleh menyebabkan wanita berkenaan kehilangan air dan mineral dan mereka mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan pemulihan. Keadaan loya dan muntah yang serius ini dikenali sebagai “hyperemesis gravidarum”.
  4. Mudah keletihan. Semasa hamil, kadar metabolisma badan meningkat untuk menampung keperluan tumbesaran anak di dalam kandungan. Ini akan menyumbang kepada rasa letih dan peningkatan hormon progesterone semasa hamil juga dikatakan boleh menyebabkan wanita hamil selalu mengantuk dan menghabiskan masa mereka dengan tidur. Kebanyakan wanita-wanita yang hamil ini akan kembali bertenaga apabila usia kandungan mencapai 12 minggu ke atas. Walau bagaimanapun keletihan ini mungkin akan berulang apabila berat kandungan yang membesar mula memberi beban ke atas wanita-wanita berkenaan.
  5. Kembung perut. Perut kembung dikaitkan dengan perubahan kandungan hormon badan ketika hamil. Wanita-wanita ini mungkin akan mendapati seluar atau baju yang mereka pakai menjadi ketat dan mereka merasa tidak selesa.
  6. Sakit belakang. Sakit pada bahagian bawah pinggang boleh dialami oleh wanita yang hamil dan ini mungkin dikaitkan dengan perubahan kepada kedudukan tulang belakang akibat kandungan yang membesar.
  7. Kencing kerap adalah gejala yang biasa dialami oleh ibu-ibu hamil terutama pada usia kandungan 6-8 minggu. Kencing kerap disebabkan oleh pundi kencing yang menjadi lebih sensitif disebabkan oleh kesan hormon dan peningkatan bekalan darah ke atas organ tersebut semasa hamil. Masalah membuang air kecil ini mungkin akan berpanjangan kerana saiz kandungan yang membesar mungkin akan member tekanan kepada pundi kencing dan kadangkala wanita yang hamil akan mengalami kesukaran untuk membuang air kecil.
  8. Sakit kepala. Ini boleh dialami oleh wanita yang hamil terutama di awal kehamilan. Ini mungkin dikaitkan dengan perubahan hormone yang berlaku semasa hamil.
  9. Perubahan deria rasa. Perubahan bahan kimia di dalam darah boleh dikesan pada air liur. Perubahan deria rasa yang boleh dialami oleh wanita yang hamil agak sukar dijelaskan tetapi akibat dari perubahan deria rasa ini, rasa makanan atau minuman yang mereka ambil menjadi berbeza dari normal dan ini mungkin boleh menyebabkan minuman atau makanan tersebut terasa tidak sedap dan memualkan.
  10. Mengidam atau di dalam bahasa Inggeris dinamakan “food craving” sering dialami oleh wanita-wanita yang hamil. Kebanyakan wanita melayu selalu mengidam makanan berjeruk. Terdapat wanita-wanita hamil yang mengidam untuk makan atau minum sesuatu yang di luar kebiasaan seperti arang, kulit kayu dan lain-lain. Punca sebenar mengapa terjadinya perkara ini adalah di luar pengetahuan kita, malah ianya tidak boleh dijelaskan oleh kajian saintifik.
  11. Perubahan deria hidu. Deria hidu menjadi lebih sensitive dan ini menyebabkan persepsi hidu ke atas minuman, makanan dan bau-bauan berubah dengan ketara sehingga menyebabkan tindakbalas wanita berkenaan berbeza dengan bauan yang tertentu. Contohnya bau pewangi yang dahulunya sangat diminati kini menjadi terlalu memualkan sehingga muntah-muntah. Begitu juga makanan yang menjadi kegemaran pada satu ketika dahulu kini telah menjadi sesuatu yang sangat menakutkan.
Peringkat-Peringkat Kehamilan

Terdapat 3 peringkat ataupun fasa kehamilan :

1. Fasa 1 (Trimester 1) iaitu 3 bulan pertama
2. Fasa 2 (Trimester 2) iaitu 3 bulan kedua
3. Fasa 3 (Trimester 3) iaitu 3 bulan terakhir kehamilan

No comments:

Post a Comment